HomeUtamaPolis siasat peserta Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 langgar syarat

Polis siasat peserta Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 langgar syarat

Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 susulan pelanggaran syarat dan undang-undang sepanjang penganjuran perhimpunan itu di ibu negeri pada 21 dan 22 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, meskipun perhimpunan dianjurkan atas semangat kebebasan bersuara, penganjur didapati gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736].

“PDRM tidak memberikan kelulusan, sebaliknya hanya memberikan maklum balas terhadap notis pemberitahuan oleh penganjur. Dalam kes ini, 15 syarat telah ditetapkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, namun banyak syarat tidak dipatuhi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, petang Isnin.

Katanya, syarat-syarat itu bertujuan menjaga keselamatan awam serta memastikan perhimpunan tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman masyarakat.

“Namun, beberapa insiden berlaku semasa perhimpunan yang sepatutnya tidak terjadi, antaranya membawa bahan berbahaya, unsur hasutan, pembakaran di tempat awam serta penggunaan simbol atau gambar provokatif,” ujarnya.

Susulan itu, tiga kertas siasatan telah dibuka melibatkan sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman.

Setakat ini, enam laporan polis telah diterima berkaitan penganjuran perhimpunan berkenaan.

Mengulas dakwaan kehadiran peserta bukan dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jauteh menjelaskan bahawa Akta Perhimpunan Aman membenarkan warganegara Malaysia berusia 15 tahun ke atas untuk menyertai perhimpunan aman.

“Siasatan sedang dijalankan terhadap penglibatan individu lain termasuk kumpulan tertentu yang memakai baju putih, bagi mengenal pasti kaitan mereka dengan kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Suara Mahasiswa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan pelajar agar menggunakan saluran yang lebih sesuai dan sah untuk menyuarakan pandangan seperti menyerahkan memorandum atau mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib.

“Berhimpun bukan satu kesalahan sekiranya mematuhi undang-undang. Tetapi jika berlaku pelanggaran, PDRM tidak akan berdiam diri,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada penganjur tentang syarat dan undang-undang yang wajib dipatuhi sebelum perhimpunan berlangsung.

Namun katanya, terdapat beberapa peserta perhimpunan yang telah melanggar syarat dan kini dalam siasatan pihak polis.

PDRM turut mengingatkan orang awam supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan tanpa mematuhi undang-undang di bawah Akta 736, bagi mengelakkan gangguan kepada ketenteraman awam, halangan lalu lintas serta risiko keselamatan.

Antara kesalahan jenayah berkaitan Perhimpunan Aman yang telah disenaraikan termasuk;

  1. Seksyen 121B Kanun Keseksaan – Bertindak terhadap kuasa Raja/Rakyat; hukuman penjara seumur hidup.
  2. Seksyen 142 Kanun Keseksaan – Menyertai perhimpunan haram; hukuman penjara hingga enam bulan atau denda.
  3. Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan – Fitnah; penjara hingga dua tahun atau denda.
  4. Seksyen 504 Kanun Keseksaan – Mengaibkan hingga bangkit kemarahan; penjara dua tahun atau denda.
  5. Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 – Menyebar bahan hasutan; hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun.
  6. Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman – Langgar arahan polis; denda hingga RM10,000.
  7. Seksyen 21(2) Akta Polis 1967 – Ingkar arahan polis; penjara tiga bulan atau denda RM200.
  8. Seksyen 186 Kanun Keseksaan – Menghalang penjawat awam; penjara dua tahun atau denda RM10,000.
  9. Seksyen 509 Kanun Keseksaan – Isyarat mengaibkan kehormatan; penjara hingga lima tahun atau denda.
  10. Seksyen 4(2)(d)(e) Akta 736 – Penyertaan bawah umur dalam perhimpunan; denda hingga RM10,000.
  11. Seksyen 4(2)(a) Akta 736 – Penglibatan bukan warganegara; denda hingga RM20,000.
  12. Seksyen 6(1) Akta 357 – Bawa senjata berbahaya; penjara lima hingga 10 tahun serta sebat.
RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular