HomeUtamaDBKK tawar RM2 untuk setiap tikus ditangkap

DBKK tawar RM2 untuk setiap tikus ditangkap

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menawarkan ganjaran sebanyak RM2 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan dalam usaha membasmi haiwan perosak itu di sepanjang Kempen Membasmi Tikus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025 yang dilancarkan hari ini.

Kempen itu bermula hari ini hingga 31 Julai ini, selaras dengan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melibatkan sepuluh PBT seluruh negara.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata kempen berkenaan bertujuan membasmi tikus di lokasi tumpuan awam seperti pasar, selain meningkatkan tahap kecekapan pengurusan kebersihan dan persekitaran bandar raya.

“Masalah infestasi tikus bukan sekadar menjijikkan, malah membawa risiko penyakit berbahaya seperti Leptospirosis, yang boleh dijangkiti manusia melalui air tercemar dengan kencing tikus.

“Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan kesihatan awam, mencemarkan imej bandaraya dan menjejaskan sektor perniagaan, khususnya di kawasan tumpuan seperti Pasar Besar Kota Kinabalu ini,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kempen di di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, DBKK akan melaksanakan pelbagai langkah pengawalan termasuk kaedah fizikal, mekanikal dan kimia, selain menganjurkan aktiviti gotong-royong, Pertandingan Keceriaan Gerai dan Pertandingan Tangkap Tikus.

Sebagai sebahagian usaha kesedaran awam, DBKK turut menyediakan pameran dan risalah berkaitan kesihatan persekitaran, di samping menggalakkan para penjaja mendaftar sebagai Smart City Friends bagi memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa.

Menurut beliau, usaha pengawalan tikus oleh DBKK sememangnya dilaksanakan secara berkala, dengan 1,299 ekor tikus ditangkap sepanjang 2024, manakala 528 ekor lagi ditangkap dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini*.

“Khusus di Pasar Besar Kota Kinabalu, sebanyak 111 ekor tikus ditangkap antara Januari hingga Jun 2024, manakala bagi tempoh sama tahun ini, jumlah tangkapan meningkat kepada 187 ekor,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk penjaja, pengunjung dan penduduk sekitar agar bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.

“Jangan buang sisa makanan merata-rata, gunakan tong sampah dengan betul, pastikan gerai bersih dan segera laporkan tanda-tanda kehadiran tikus. Dengan semangat kerja berpasukan, saya yakin kita mampu jadikan Kota Kinabalu bandaraya yang bersih, sihat dan berdaya huni,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Life Water Industries Sdn. Bhd., Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd., Sabah Integrated Pest Management Association (SIPMA) serta persatuan-persatuan penjaja.

Untuk makluman, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK akan membuka kaunter penerimaan tangkapan tikus di Pasar Besar Kota Kinabalu. Tarikh pembelian akan diumumkan kelak.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular