Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya hari ini mengadakan lawatan singkat ke Pelabuhan Tawau bagi meninjau sendiri operasi semasa serta status aset utama di pelabuhan tersebut yang diuruskan oleh Sabah Port Sdn. Bhd.

Lawatan ini susulan aduan daripada pemain industri perkapalan pada Mei lalu mengenai kerosakan kren di pelabuhan berkenaan.

Menurut Shahelmey, hasil perbincangan antara pihak kementerian, Sabah Ports Sdn Bhd dan penggiat industri, memaklumkan bahawa kren yang rosak kini telah kembali beroperasi secara normal.
“Pihak Sabah Port turut memaklumkan bahawa mereka dalam perancangan untuk menggantikan kren lama dengan kren baharu menjelang hujung tahun ini atau awal 2026,” katanya dalam sidang media selepas lawatan tersebut.
Shahelmey turut menegaskan agar penyelenggaraan aset lama seperti kren perlu diberikan perhatian lebih serius.
“Pelabuhan ini penting untuk aktiviti perdagangan di pantai timur Sabah. Saya berpuas hati dengan penambahbaikan yang telah dan sedang dijalankan, namun peringatan tegas diberikan agar jadual penyelenggaraan dipatuhi dengan lebih ketat,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai keperluan menaik taraf pelabuhan, beliau menjelaskan bahawa perancangan pembangunan sememangnya sedang dibincangkan bersama Lembaga Pelabuhan Sabah dan Sabah Port Sdn. Bhd.
“Dengan tambahan kren baharu nanti, kapasiti pengendalian kontena dijangka meningkat, dan ini akan merancakkan lagi operasi pelabuhan. Jadi, sudah tentu akan ada keperluan perancangan jangka panjang untuk menaik taraf fasiliti pelabuhan Tawau,” ujarnya.
Selain itu, Shahelmey turut memaklumkan beliau telah melawat beberapa pakej projek Lebuhraya Pan Borneo dari Lahad Datu ke simpang sempadan Tawau–Semporna, melibatkan pakej 16 hingga 20.
Menurut beliau, walaupun semua pakej telah menerima pelantikan sejak September tahun lalu, kemajuan kerja masih perlahan disebabkan isu pengambilan semula tanah dan pengalihan utiliti.
“Kerja-kerja yang sedang dijalankan ketika ini kebanyakannya melibatkan pembersihan tapak, pembentukan jajaran, dan pembinaan awal struktur seperti culvert.
“Saya mengarahkan pihak JKR, juruperunding, serta kontraktor untuk semak semula jadual kerja mereka dan kenal pasti segmen yang boleh diteruskan walaupun pengambilan tanah masih berjalan,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan pengurusan keselamatan dan trafik yang ketat sepanjang tempoh pembinaan kerana jalan sedia ada masih digunakan oleh orang awam.
“Mana-mana lubang jalan (pothole) perlu ditampal segera. Penyelenggaraan jalan sepanjang pembinaan ini sangat penting bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya.