Kota Belud: Program Aura Wanis anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk diangkat sebagai platform strategik untuk membantu wanita muda mengenali kekuatan diri serta membina keyakinan dan imej positif dalam menghadapi cabaran semasa.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Tempasuk, Alffera Deanna Wong berkata, Aura Wanis bukan sekadar program motivasi biasa, tetapi satu inisiatif memperkasa golongan wanita muda agar lebih berani, yakin dan berdaya saing dalam pelbagai lapangan termasuk kepimpinan, sosial dan kerjaya.
“Melalui program ini, wanita muda diberi pendedahan mengenai pembentukan personaliti, gaya komunikasi serta keyakinan kendiri yang mampu mengubah cara mereka membawa diri dalam masyarakat.
“Aura Wanis adalah satu langkah penting untuk kita bangunkan potensi wanita muda di DUN Tempasuk.
“Ini juga seiring dengan hasrat kita untuk melahirkan generasi pemimpin wanita masa depan,” katanya selepas penutupan program tersebut di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, Beliawanis Tempasuk akan terus komited menganjurkan program seumpama itu secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh peranan wanita muda dalam pembangunan komuniti setempat.
Program tersebut turut mendapat sambutan positif daripada penduduk Tempasuk, dan penganjur merancang untuk memperluas pelaksanaannya ke beberapa lokasi lain dalam masa terdekat. – SABAH MEDIA