Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan beras dan barang kawalan di kedudukan 0.75 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut dari perairan Batu Tiga Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot kargo tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki berusia 20 tahun dengan dokumen pengenalan diri yang meragukan bersama seorang pembantu juga lelaki pemegang pasport warga Indonesia berumur 25 tahun dan tidak mempunyai permit kerja yang sah di atas bot kargo tersebut.
“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati, juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan tidak mempunyai dokumen pengikraran kastam barangan ke Pulau Sebatik.

“Kedua-dua mereka seterusnya ditahan bersama bot kargo dan kesemua muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ariffin berkata, hasil penggeledahan ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 700 kampit beras (10 kilogram) bersamaan tujuh tan serta 30 kotak minyak masak peket sekitar 510 kilogram di dalam bot kargo tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Kawalan Padi dan Beras 1994(Akta522), Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002.
Menurutnya, kesemua barangan termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM30,000.
“Siasatan juga akan dijalankan ke atas unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan tular beberapa klip video di laman sosial mengenai barangan yang berasal dari Malaysia telah ditahan oleh pihak berkuasa di negara jiran,” katanya.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Menurutnya, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau hubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” menurutnya lagi. – SABAH MEDIA / MARITIM MALAYSIA