HomePolitikJentera wanita Gagasan Rakyat diingat tidak terlalu yakin hadapi PRN17 - Redonah

Jentera wanita Gagasan Rakyat diingat tidak terlalu yakin hadapi PRN17 – Redonah

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda mengingatkan jentera pilihan raya supaya tidak berasa terlalu yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, kemenangan sebenar hanya boleh ditentukan selepas pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam hari pengundian, dan bukan berdasarkan jangkaan semata-mata.

“Semua peringkat kepimpinan parti harus sentiasa ingat bahawa keyakinan melampau boleh membawa padah. Kemenangan hanya sah apabila SPR mengisytiharkannya secara rasmi. Sejarah pilihan raya menunjukkan apa sahaja boleh berlaku dan corak pengundian rakyat kadang-kadang sukar diramal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah di Alamesra, kelmarin.

Turut hadir Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh (Darau), Penolong Setiausaha, Fahzean Mohidin (Kawang), Ketua Penerangan, Senatir Datuk Anna Bell Perian serta exco-exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah.

Redonah berkata, sebelum menjelang hari mengundi pelbagai  faktor boleh memungkinkan kemenangan atau kekalahan kepada parti, malah sehingga menjelang malam hari mengundi pun tidak ada pihak boleh mendabik dada mereka boleh menang dan mampu menang.

Katanya, kemenangan pada PRN lepas pula tidak sesekali boleh dijadikan penanda ukuran untuk semua jentera berasa selesa dengan corak pilihan rakyat.

“Mungkin kemenangan yang dikecapi oleh kita bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peluang untuk memerintah. Jika silap perhitungan undi bakal beralih ke pihak lawan.

“Justeru, sewajarnya kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat, dan langkah-langkah yang lebih mantap supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRN-17,” tegasnya.

Beliau yakin Gabungan Rakyat Sabah hari ini masih mendapat sokongan dan menjadi harapan rakyat untuk terus memerintah terutama berdasarkan rekod dan pencapaian yang ada.

Katanya, apa yang penting sekarang ialah memastikan fikiran rakyat tidak dipesong oleh parti pembangkang yang cuba menarik sokongan.

“Oleh itu kita mesti bekerja supaya mereka akan terus memberi mandat kepada kita. Gerakan Wanita pula perlu lebih agresif dalam mendekati rakyat dan pengundi.

“Tindakan ini memerlukan perancangan yang rapi, kecekalan dan kesabaran yang tinggi. Tidak ada gerak kerja yang mudah kerana setiap usaha itu pasti ada cabaran dan dugaan,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular