HomeUtamaSabah bakal miliki Wisma Pelancongan dan Kebudayaan serba canggih

Sabah bakal miliki Wisma Pelancongan dan Kebudayaan serba canggih

Read Time:1 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu:  Wisma Pelancongan dan Kebudayaan setinggi 22 tingkat bakal dibina bagi menggantikan bangunan lama Wisma Budaya yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, bangunan Wisma Budaya itu kini telah usang selain tidak selamat untuk diduduki.

“Ini merupakan pembangunan bersejarah dalam sektor pelancongan dan kebudayaan Sabah. Kita akan merobohkan bangunan lama Wisma Budaya bagi memberi laluan kepada struktur moden yang akan dilengkapi kemudahan Teknologi Maklumat (IT), sistem Audio Visual (AV), dan pelbagai lagi.

“Jika semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Apabila siap, pihak kementerian akan mempunyai bangunannya sendiri dan akan berpindah ke premis baharu ini yang turut menempatkan semua agensi di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kewangan antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dengan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), di sini pada Khamis.

Antara yang menandatangani dokumen perjanjian ialah Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; dan Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison yang mewakili agensi masing-masing.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Peter Lintar; Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Dikin Musah; dan Timbalan Setiausaha Tetap I kementerian, Mary Malangking. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular