Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Masjid Nurul Taqwa, Kampung Jawa Lanut menerima sebuah van jenazah hasil inisiatif Pejabat Dewan Undangan Negeri Kukusan, bagi manfaat kira-kira 20,000 penduduk di Mukim Sentosa dan sekitarnya.
Van jenazah tersebut merupakan yang pertama kali disediakan di kawasan Kukusan, mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi membiayai pembelian kenderaan tersebut pada tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, usaha itu sejajar dengan hala tuju pembangunan modal insan di bawah konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) dan merupakan satu langkah konkrit dalam menyantuni keperluan rakyat secara langsung, khususnya dalam urusan fardhu kifayah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang prihatin dalam meluluskan peruntukan van jenazah ini. Ia memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih bersedia menghadapi saat-saat kecemasan serta menunaikan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan komuniti,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan van tersebut di Masjid Nurul Taqwa, Kampung Jawa Lanut, di sini semalam.
Tambah beliau, permohonan bagi kemudahan yang sama juga telah diterima daripada beberapa surau dan masjid dalam DUN berkenaan yang diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Rina turut mengulas isu keperluan tanah perkuburan Islam yang semakin mendesak di Kukusan memandangkan tanah perkuburan sedia ada di Jalan Utara kini sudah hampir penuh dan sebahagian tanah di Kukusan telah dikenal pasti bernilai komersial serta lebih sesuai untuk pembangunan penempatan.
Justeru katanya, cadangan dua tapak tanah perkuburan baharu masing-masing di Merotai dan Jalan Barat Daya sedang dalam perancangan.
“Saya berharap kerajaan negeri serta pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat membantu dari segi peruntukan dan pelaksanaan,”ujarnya.