HomeUtamaPemandu maut, lapan cedera dalam kemalangan van di jalan Kunak - Lahad...

Pemandu maut, lapan cedera dalam kemalangan van di jalan Kunak – Lahad Datu

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Normimie Diun

KUNAK: Seorang lelaki warga emas yang merupakan pemandu van maut manakala lapan penumpang lain cedera selepas van jenis Toyota Hiace yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, pagi tadi.

Pasukan Bomba membantu mengeluarkan mangsa nahas jalan raya di lokasi kejadian. – Foto ihsan BBP Kunak

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Omarbatha, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 7.19 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bersama dua jentera iaitu jentera pemadam (Fire Rescue Tender) dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer.

“Setibanya di lokasi pada jam 7.50 pagi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ridzuan Shahidun melaporkan kemalangan melibatkan sebuah van yang terbabas sendiri ke bahu jalan.

“Seorang lelaki berusia 74 tahun yang merupakan pemandu van tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas jenis unit kuasa hidraulik (Hydraulic Power Unit) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Lapan penumpang lain, terdiri daripada empat wanita dan empat lelaki berusia antara 46 hingga 75 tahun, mengalami kecederaan.

Mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dihantar ke Hospital Kunak menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans.

“Difahamkan kesemua mangsa dari Semporna dan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu,” tambah Mohamad.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.09 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Operasi itu turut melibatkan empat petugas daripada KKM dan dua anggota polis.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular