Kota Kinabalu: Inisiatif seorang anak jati Sabah memperkenalkan kursus kecerdasan buatan (AI) secara percuma, mencetuskan fenomena baharu dalam masyarakat khususnya kalangan belia tempatan.
Malah sejak dilancarkan pada Mei lalu, ia mampu menarik perhatian dua syarikat telekomunikasi terkemuka negara untuk membantu menerusi kerjasama strategik.
Pengasas program, Ts. Gs. Mahadthir Asbollah berkata, AI bukan lagi sekadar konsep masa depan sebaliknya ia sudah mengubah landskap dunia secara menyeluruh.
Katanya, ia dapat dilihat semakin berkembang sama ada dalam bidang perindustrian dan pasaran kerja sehingga menjadikannya kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.
“Bermula sebagai program kecil untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Putatan, kursus ini kini mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan umur.
“Bagi saya, ia mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan AI dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, AI adalah kemahiran hidup yang penting pada hari ini, termasuk sebagai alat perlindungan diri daripada penipuan siber dan penyebaran maklumat palsu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen untuk memperluaskan inisiatif berimpak tinggi ini ke seluruh pelusuk negeri Sabah.
“Saya berharap dengan usaha ini, ia dapat melahirkan generasi celik teknologi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
“Kejayaan awal program ini di Putatan menjadi bukti bahawa rakyat Sabah bersedia untuk mendepani revolusi digital, asalkan diberi peluang dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Mahadthir berkata, usaha murni itu telah menarik perhatian dua syarikat telekomunikasi terkemuka negara iaitu Maxis dan RedONE yang tampil memberikan sokongan strategik.
“Turut sama menjayakan inisiatif ini ialah Kolej Eastern yang menyediakan latihan khusus, serta Borneo Learning Strategy yang menyumbang kemudahan fasiliti pembelajaran yang kondusif,” katanya.