HomeUtamaSTAR nafi dakwaan rasuah terhadap Jeffrey Kitingan, dakwa fitnah bermotif politik

STAR nafi dakwaan rasuah terhadap Jeffrey Kitingan, dakwa fitnah bermotif politik

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, menerima RM1.78 juta berkaitan skandal perlombongan seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

Ketua Penerangan STAR, Mohd. Anuar Tan Sri Ghani Gilong berkata, tuduhan tersebut adalah palsu, tidak berasas dan bermotif politik untuk mencemarkan reputasi serta menggugat kestabilan kerajaan Sabah.

“Dakwaan ini merupakan rekaan pihak-pihak tertentu yang terdesak dan berniat jahat. Ia adalah taktik lama yang sering digunakan sejak tahun 1960-an untuk menimbulkan kekeliruan dalam politik Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Jeffrey tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan permohonan perlombongan mahupun terlibat dalam sebarang skandal seperti yang didakwa.

STAR juga menegaskan bahawa parti itu tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti perlombongan atau memohon lesen perlombongan. Malah, sebagai penyokong Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), STAR komited terhadap prinsip perlindungan alam sekitar dan menolak aktiviti perlombongan.

“Presiden dan ahli-ahli STAR telah memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memberikan kenyataan terperinci berkaitan siasatan yang dijalankan,” jelasnya.

Tambah Anuar, STAR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan media tertentu yang cuba membicarakan isu ini di mahkamah awam, bukan melalui saluran undang-undang yang sah.

Beliau turut memetik kenyataan terdahulu oleh “pemberi maklumat” bahawa STAR dan PBS telah dibersihkan daripada sebarang salah laku atau penerimaan dana rasuah.

“STAR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan atas laporan tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya.

Anuar menjangkakan lebih banyak fitnah dan dakwaan palsu akan timbul menjelang Pilihan Raya Negeri, sambil menyifatkan ia sebagai cubaan terancang untuk mengubah landskap politik Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular