KOTA KINABALU, – Kedudukan geostrategik Sabah dan sumber gas aslinya yang melimpah menjadikan negeri ini tumpuan baharu dalam pelan jangka panjang tenaga negara. Di tengah-tengah cabaran bekalan elektrik yang masih membelenggu kawasan luar bandar dan juga zon perindustrian, pendekatan berasaskan gas asli dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi tenaga dan pemacu pembangunan ekonomi mapan negeri.
Untuk itu Sabah kini berada pada persimpangan penting untuk menjadi hab tenaga utama negara, sejajar dengan aspirasi nasional untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Rangka kerja tenaga baharu ini turut menyasarkan pembentukan ekosistem ekonomi moden yang bersandarkan kepada pembangunan infrastruktur gas dan pelaburan strategik.
Untuk rekod, Sabah merupakan salah satu negeri pengeluar gas asli terbesar di Malaysia, menyumbang kira-kira 8% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran gas negara pada tahun 2018. Sehingga tahun 2019, Sabah mempunyai lebih 11.67 trilion kaki padu standard (Tscf) rizab gas asli, mewakili sekitar 15% daripada jumlah rizab gas asli negara.

Sumber gas asli asli di Sabah terdiri daripada gas ‘lean’, iaitu gas yang mempunyai kandungan metana yang tinggi (sekitar 90%). Ciri kimia gas ini menjadikannya sangat sesuai untuk penjanaan tenaga dan penghasilan bahan petrokimia berasaskan rantaian metana seperti metanol, urea dan derivatif ammonia.
Cabaran Membekalkan Bekalan Eletrik yang Stabil
Walaupun pelbagai usaha telah dirangka dan diterjemahkan melalui pemodenan grid, masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap kali muncul khususnya di kawasan industri dan luar bandar menjejaskan keyakinan pelabur. Pergantungan tinggi pembekalan yang menggunakan penjanaan diesel yang terbukti mahal dan ketidakseimbangan antara permintaan serta kapasiti penjanaan telah mengehadkan pertumbuhan sektor pembuatan dan pelabuhan utama di negeri ini.
Situasi ini menuntut penyelesaian jangka sederhana yang mampan dan mampu menangani isu keselamatan tenaga tanpa melengahkan aspirasi peralihan kepada sumber boleh diperbaharui.
Malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada April lalu berkata Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah
Katanya Sabah dikurniakan dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan berpotensi menawarkan prospek yang kukuh untuk menyumbang secara signifikan kepada transformasi negeri dan negara menuju ekonomi berimpak tinggi.
“Sektor tenaga telah menjadi enjin pertumbuhan yang kritikal bagi ekonomi Sabah selama beberapa dekad lepas, memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negeri.
“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat sektor tenaga Sabah terus berkembang sambil memberikan kesan sosial yang positif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025: Koridor untuk Mengubah Visi kepada Realiti (SAREC 2025) di Kota Kinabalu baru-baru ini,
ASEAN , Rangkaian GRID dan Gas Asli: Penyelesaian Peralihan dan Jambatan ke Arah Tenaga Bersih
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu pelaksanaan rangkaian Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid, APG), menjadi pemangkin kepada perdagangan tenaga rentas sempadan yang lebih menyeluruh dan mampan.
“Hydro banyak tertumpu di Mekong, manakala potensi solar dan angin berada di negara-negara maritim seperti Filipina, Indonesia dan Malaysia. Justeru, kita perlu menghubungkan potensi ini agar semua negara ASEAN dapat menikmatinya secara bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di ibu negara, bulan lalu.
Menurut beliau, ASEAN dijangka memerlukan kapasiti penghantaran antara wilayah sekurang-kurangnya 24.4 GW menjelang 2040, melibatkan pelaburan lebih AS$770 bilion.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi peluang untuk membina daya tahan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, dan merangsang industri hijau baharu,” jelasnya.
Dan melihat kepada peluang dan kekuatan yang dimiliki oleh Sabah dalam menjadi pemain industri yang menyokong usaha itu ,serta dapat penawaran tenaga yang bersih dan stabil, , gas asli tampil sebagai bahan api peralihan yang paling praktikal iaitu bersih, stabil, dan terkawal yang dimiliki wilayah ini.
Penggunaan gas asli membolehkan Sabah menstabilkan grid tenaga dalam jangka sederhana, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap diesel serta memenuhi keperluan tenaga pelabuhan, zon ekonomi khas dan taman-taman industri.
Ini turut dimasukkan di dalam Rancangan Induk Tenaga Sabah (Sabah Energy Master Plan) yang menggariskan peranan gas sebagai jambatan strategik ke arah penggunaan meluas tenaga boleh diperbaharui, termasuk solar dan hidro pada masa hadapan.

INFRASTRUKTUR GAS PEMANGKIN EKONOMI BAHARU
Justeru Pembangunan infrastruktur gas bukan sahaja menjawab keperluan tenaga, malah mewujudkan kesan berganda ke atas ekonomi negeri. Projek-projek utama seperti pengaktifan zon perindustrian di Lahad Datu, Kimanis dan Sipitang dijangka mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi serta menarik pelaburan dalam logistik LNG, loji janakuasa, dan kemudahan pelabuhan.

Kemudahan seperti saluran paip gas, terminal LNG dan loji janakuasa terkini membentuk asas kepada ekosistem ekonomi baharu yang lebih moden dan lestari, sekaligus menambah daya saing Sabah di mata pelabur serantau.
KERJASAMA DI RANTAU ASIA
Melihat kepada negara jiran, Sabah wajar melihat transformasi tenaga yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat tenaga berpangkalan di Thailand yang telah membina reputasi kukuh di peringkat Asia Tenggara.
Ditubuhkan pada tahun 1878, B.Grimm bermula dengan pembukaan dispensari perubatan Eropah yang pertama di Thailand, dan sejak itu berkembang menjadi peneraju utama dalam sektor tenaga di rantau ini. Kini, syarikat tersebut mengendalikan sebanyak 65 loji janakuasa dengan jumlah kapasiti melebihi 4,000 megawatt, termasuk kemudahan tenaga boleh diperbaharui.
Komitmen syarikat terhadap kelestarian terbukti melalui pembangunan sistem bersepadu yang menggabungkan teknologi gas, solar dan penyimpanan bateri, di samping penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti setempat.
Kerjasama strategik dengan syarikat seperti B.Grimm dijangka mempercepatkan pemindahan teknologi, memperkukuh kebolehpercayaan sistem serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem tenaga Sabah yang sedang berkembang.
Penjajaran dengan Agenda Nasional dan Iklim Global
Berbalik semula kepada Pelan tenaga Sabah diselaraskan dengan sasaran nasional untuk menjamin bekalan elektrik yang stabil di seluruh negeri dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ianya akan menjadi pemangkin dan mempercepatkan lagi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), dan memposisikan Sabah sebagai hab tenaga bersih menjelang 2040.
Inisiatif ini juga selari dengan komitmen Malaysia terhadap perubahan iklim global, iaitu untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) menjelang tahun 2050.
Sabah kini berhadapan dengan peluang unik untuk mendefinisikan semula kedudukan strategiknya dalam sektor tenaga negara dan rantau. Dengan strategi gas sebagai bahan api peralihan dan kerjasama dengan pemain antarabangsanegeri ini bersedia untuk melonjak sebagai peneraju tenaga bersih yang bukan sahaja menepati kehendak pasaran, malah memberi manfaat terus kepada rakyat.
Gabungan dasar yang konsisten, pelaburan infrastruktur berskala besar dan keterlibatan sektor swasta akan menjadi pemangkin kepada ekosistem tenaga baharu yang lebih stabil, lestari dan inklusif dan paling penting ianya bukan hanya untuk Sabah semata-mata , tetapi untuk Malaysia secara keseluruhan.