HomeUtamaKumpulan pertama jemaah haji Sabah selamat tiba di tanah air

Kumpulan pertama jemaah haji Sabah selamat tiba di tanah air

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Kumpulan pertama jemaah haji Sabah seramai 137 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada jam 7.50 malam pada Ahad.

Ia turut menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua untuk Musim Haji 1446H/2025M, bagi menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air.
Ketibaan mereka disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji Datuk Nurlaila Said.

Arifin ketika ditemui berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji atas pengurusan yang baik kepada jemaah haji khususnya dari negeri ini.

“Alhamdulillah, rombongan pertama jemaah haji dari Sabah telah selamat tiba dan alhamdulillah saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tabung Haji kerana pengurusan yang baik.

“Bukan sahaja di negeri Sabah ini tapi seluruh negara, malah di seluruh dunia diiktiraf sebagai organisasi yang terbaik. Baru-baru ini juga telah menerima anugerah dan kita bersyukur jemaah haji kita seramai 137 selamat tiba ke tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berkata, bakal jemaah haji diseru melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan secara berterusan.

Katanya, bakal jemaah haji juga dipelawa serta memanfaatkan kursus-kursus haji yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji bagi menambahkan pengetahuan sedia ada.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua bakal haji agar meneruskan usaha belajar dari masa ke masa berhubung dengan hukum hakam haji ini bermula dari sekarang.

“Saya difahamkan bahawa Tabung Haji juga akan memulakan urusan-urusan berhubung dengan pengenalan kursus-kursus haji untuk memudahkan orang yang terpilih atau mereka yang akan menjadi Duyuf Ar-Rahman pada tahun hadapan,” katanya.

Di samping itu, umat Islam di negeri ini juga digesa untuk mendaftar dengan TH bagi memudahkan urusan menunaikan ibadah haji.

“Kepada umat Islam di seluruh Negeri Sabah mendaftarlah ke Lembaga Tabung Haji untuk memudahkan kita menunaikan ibadah haji dan mendaftar dengan jumlah yang ditetapkan sebaik-baiknya lebih banyak lebih mudah kita untuk berurusan dengan urusan haji,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa merujuk kepada Lembaga Tabung Haji berkaitan ibadah haji dan umrah bagi mengelakkan berlakunya penipuan (scammer).

“Saya selalu mengatakan di mana-mana yang berurusan dengan wakil umrah untuk haji kepada TH.

“Kita akan selamat daripada pihak tertentu, sekiranya kita ragu dengan organisasi atau agensi yang mengurus rujuk di TH kerana agensi-agensi yang mengurus itu berdaftar dengan TH.

“Dapatkan maklumat yang sahih daripada pihak TH, mereka ada senarai dan ada panduan-panduan yang harus kita ikuti untuk kita selamat daripada scammer berkenaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular