Semporna: Regatta Lepa Semporna, pesta tradisional ikonik suku kaum Bajau serta tarikan pelancongan tahunan utama bagi negeri ini, telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sabah tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran kali ke-30 itu membuktikan keteguhan komitmen masyarakat Semporna dalam memartabatkan warisan budaya mereka.
“Dengan penyenaraian pesta ini dalam kalendar pelancongan, diharapkan acara ini akan mencapai tahap baharu dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan merasai kemeriahannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Regatta Lepa Semporna di Padang Bandaran di sini malam Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, menerusi Regatta Lepa, ianya dapat memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Bajau dan usaha pemeliharaan warisan maritim kepada para pelancong dari seluruh dunia.

Beliau turut menyatakan bahawa Regatta Lepa tahun ini akan menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan lepa tradisi, pengibaran Sambulayang, penobatan Ratu Lepa dan penganugerahan Tokoh Regatta Lepa.
Sementara itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Bajau dikenali sebagai Igal-Igal berlangsung selama satu jam tanpa henti melibatkan penari-penari dari pelbagai kumpulan budaya dan komuniti.
Acara ini telah dimasukkan kedalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang pada 21 Jun lalu.
“Memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini merupakan salah satu elemen utama yang menjadikannya produk pelancongan yang popular. Ini kerana Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya.
“Rakyat Sabah terdiri daripada 35 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai budaya, bahasa dan perayaan tersendiri, namun masih mampu hidup secara harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain.
“Ini menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan, sama ada bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA