KOTA KINABALU: Seorang Ahli Perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing didakwa dengan dua pertuduhan memberi rasuah melibatkan RM350,000 berhubung permohonan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah.
Turut didakwa dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Yusof Yacob, didakwa atas pertuduhan menerima rasuah tersebut.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, hari ini.
Tei atau dikenali sebagai Albert Tei, 37, didakwa memberikan suapan RM200, 000 dan RM150, 000, masing-masing kepada Andi dan Yusof sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah untuk dua buah syarikat.
Tei didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Andi, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, didakwa secara rasuah menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Mei 2023, jam lebih kurang 11 malam bertempat di hadapan kediaman tertuduh di Jalan Pantai Sembulan.
Yusof, 69, yang merupakan Adun Sindumin, pula didakwa menerima rasuah dari Tei RM200, 000 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Nusa Kini Sdn. Bhd. bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Mac 2023, jam lebih kurang jam 2 petang, bertempat di Rooftop Bar & Grill @ Hilton Kota Kinabalu, dekat sini.
Andi dan Yusof didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk pengurusan kes.
Andi dan Yusof dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50, 000 tetapi hanya RM10,000 didepositkan kepada mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.
Albert pula dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM60, 000 tetapi hanya RM15,000 didepositkan kepada mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melaporkan diri sekali sebulan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.
Mahkamah turut mengingatkan mereka agar tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee, Rustam Sanip dan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh.
Peguam Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri, dan Datin Jaharah Patimbangi mewakili dua Adun berkenaan.
Manakala Tei diwakili oleh Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.