Kota Kinabalu : Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menegaskan pendirian mereka untuk membersihkan nama masing-masing melalui proses perundangan selepas dikaitkan dengan dakwaan rasuah berkaitan lesen cari gali mineral di negeri ini.
Kedua-dua ADUN itu menekankan bahawa mereka yakin dengan sistem keadilan dan proses mahkamah negara.
Yusof ketika ditemui berkata, beliau yakin bahawa mereka tidak bersalah dalam kes rasuah dan pihaknya telah banyak dimanipulasi oleh media.
“Saya ingin menegaskan dan yakin kami tidak bersalah dalam kes rasuah ini. Kami telah banyak dimalukan dalam media dan melalui proses ini kami akan membersihkan nama kami melalui mahkamah.
“Kami yakin dengan sistem keadilan dan proses mahkamah negara ini. Jadi sekarang saya dan YB Andi istilahnya seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak mahu mengganggu proses perundangan dan akan fokus dengan tugas sebagai wakil rakyat untuk jaga kawasan dan tugas-tugas lain.
“Jadi kami yakin bahawa kami dapat membersihkan nama kami melalui proses mahkamah ini. Jadi itu saja, saya tidak ada apa-apa komen,”katanya.
Sementara itu, Andi turut menegaskan bahawa pihaknya tidak bersalah dan akan menurut semua prosedur di mahkamah.
“Saya menyunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara kita dan yakin proses perundangan akan berjalan dengan telus dan baik.
“Jadi dalam proses inilah, saya akan bersama-sama dengan Dr. Yusof akan membuktikan kami tidak bersalah, kami akan membersihkan nama kami dan insyaAllah dia akan berjalan dengan baik.
“Sementara itu juga, saya akan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan itu yang paling utamalah,” katanya. – SABAH MEDIA