KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam menghadapi sebarang dakwaan atau tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau.
Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kenyataan terbuka Hajiji yang menegaskan “I have nothing to hide” merupakan bukti jelas bahawa beliau adalah pemimpin yang telus dan tidak gentar untuk disiasat.
“Kami yakin dengan pengerusi kami. Beliau sendiri telah berkata dengan tegas – ‘Siasatlah!’ Jika beliau bersalah atau takut, beliau tidak akan berani berkata demikian. Oleh itu, Wanita GRS berdiri teguh di belakang Datuk Seri Hajiji,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Azizah berkata, kenyataan tersebut mencerminkan keikhlasan dan keberanian seorang pemimpin yang bersedia berdepan kebenaran tanpa berselindung.
“Pemimpin yang berani berkata ‘pergilah siasat’ ialah pemimpin yang tidak menyembunyikan apa-apa. Ini menunjukkan keyakinan beliau terhadap proses undang-undang serta ketelusan dalam pentadbiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wanita GRS turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan sebarang cubaan menggugat kestabilan politik negeri.
“Kami menyeru semua agar terus tenang dan percaya kepada kepimpinan yang berani, jujur dan bertanggungjawab. Sokongan padu daripada rakyat amat penting dalam memastikan kestabilan negeri terus terpelihara,” tambahnya.