Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu di sebuah universiti sehingga melanggar seorang penunggang motosikal.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Mohd Faddlie Shah Roslee akan menjalani tambahan hukuman penjara selama dua bulan.
Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu Mohd Faddlie digantung selama lima tahun.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Faddlie, sebagai pemandu kenderaan Perodua Axia, telah memandu kenderaan tersebut secara melulu sehingga melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 23 tahun, sehingga menyebabkan penunggang tersebut jatuh dan mengalami kecederaan.
Kejadian berlaku pada 4 Disember 2023, jam lebih kurang 10.15 pagi, bertempat di Pintu Masuk Utama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jalan UMS.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. Dalam hal sabitan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000.
Mengikut fakta kes, Mohd Faddlie, 41, cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh polis bantuan yang sedang bertugas di universiti berkenaan.
Tertuduh memecut lalu merempuh pintu pagar keluar utama UMS sehingga menyebabkan pagar tersebut tercabut dan rosak. Kenderaan tertuduh turut merempuh mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah belakang.
Mangsa, yang merupakan penuntut UMS, tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan.
Mohd Faddlie, yang bekerja sendiri, tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Pegawai pendakwa trafik, Inspektor Mohammad Khairul Nizam Mokhtar mengendalikan pendakwaan.