HomeUtamaPenjawat awam Sabah diingat kekal profesional, berintegriti sepanjang tahun pilihan raya –...

Penjawat awam Sabah diingat kekal profesional, berintegriti sepanjang tahun pilihan raya – Hajiji

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu: Semua penjawat awam di negeri ini diharap terus berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme, neutraliti dan integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun pilihan raya ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam harus memastikan segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta terus berjalan lancar seperti biasa. 

“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini mencerminkan komitmen kita untuk terus mendukung sistem demokrasi dan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Hajiji turut menggesa semua Ketua Jabatan untuk menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Katanya, mereka perlu menjalankan tugasan dengan lebih cekap dan tepat serta memantau projek dengan lebih berkesan agar semua projek yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual.

“Perkara ini penting bagi mengelakkan kita daripada berdepan dengan kelewatan pelaksanaan, pembaziran sumber dan menjejaskan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengingatkan semua penjawat awam agar sentiasa bersikap responsif, proaktif dan mengamalkan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Penjawat awam hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan amanah, ketelusan dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Mereka mesti mengelakkan sebarang konflik kepentingan supaya matlamat dan objektif kerajaan negeri dapat dicapai dengan jayanya.

“Kepentingan kerajaan sentiasa lebih utama daripada kepentingan peribadi,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa memelihara integriti diri dan menjadikannya sebagai salah satu asas penting dalam nilai diri masing-masing.

“Tanpa nilai integriti diri yang tinggi, kesannya kepada imej perkhidmatan awam dan keseluruhan institusi kerajaan negeri akan amatlah sangat serius,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata empat rang undang-undang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri selama dua hari yang akan bermula Isnin depan.

Jabatan Ketua Menteri akan membentangkan dua rang undang-undang: Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.

Dua lagi akan dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, iaitu Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Persatuan Alumni KTYS terus aktif perkasa peranan bekas pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular