HomeUtamaDua penjawat awam didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Tawau atas tuduhan terima...

Dua penjawat awam didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Tawau atas tuduhan terima suapan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Dua bekas penjawat awam hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau atas dua pertuduhan berasingan cuba mendapatkan suapan wang tunai berjumlah RM66,000 berkaitan permohonan tanah skim pekebun kecil di Kunak dan Lahad Datu, Sabah.

Dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim, Jason Juga, tertuduh pertama Smith A. Lewas @Simon, 56, seorang penolong juruukur yang bertugas di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak pada ketika kejadian, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Menurut pertuduhan, Smith didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM54,000 daripada seorang individu bernama Goefle Joseph sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah bagi Goefle dan 26 peserta lain selepas bancian tanah dilakukan di bawah Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB), Kunak.

Mahkamah difahamkan, kejadian itu didakwa berlaku sekitar penghujung Mei 2016 di sebuah studio milik Thomas Salong di Kunak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili oleh peguambela Vivian Thien.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan RM3,000 deposit serta seorang penjamin tempatan manakala tertuduh turut diarahkan melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh kedua, Lusiwoi Kisa, 62, seorang pesara dan bekas pembantu tadbir di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Tanah dan Ukur Kota Kinabalu, turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di bawah akta yang sama.

Lusiwoi didakwa cuba mendapatkan RM12,000 daripada Cornilius Jomol @ Terence sekitar Jun 2016 sebagai balasan untuk melakukan bancian ke atas lot tanah bagi 16 peserta yang belum memiliki lot dalam permohonan tanah di kawasan sama, iaitu SPPKMB Kunak.

Tertuduh diwakili oleh peguambela Jhasarry P. Kang dan turut dikenakan jaminan sebanyak RM6,000 dengan RM2,000 deposit serta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan syarat sama seperti tertuduh pertama, termasuk larangan mengganggu saksi dan keperluan melapor diri di SPRM Lahad Datu setiap dua bulan. Tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes tersebut ditetapkan pada 11 September 2025.

Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular