PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang individu yang disebut dalam sebuah artikel yang tular di media sosial.
Menurut sumber dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, siasatan itu merujuk kepada dakwaan terhadap seorang taikun syarikat dari Singapura yang dikatakan pembiaya skandal rasuah membabitkan Datuk Albert Tei dan beberapa pemimpin UMNO Sabah.
Artikel berkenaan mendakwa individu tersebut terlibat dalam urusan pembiayaan yang berkait rapat dengan kes rasuah yang sedang hangat diperkatakan di Sabah.
“Susulan pendedahan itu, SPRM telah memulakan siasatan untuk mengesahkan maklumat tersebut,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara itu.
“SPRM akan memanggil beberapa saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” kata Azam.