Kota Kinabalu : Sabah menjadi negeri pertama melancarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Malaysia yang dibiayai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.
Hajiji berkata, SDCC yang dibangunkan secara bersama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan NADMA itu akan memastikan tindakan yang lebih pantas dan tersusun ketika berlakunya bencana.
Pusat yang terletak di Tingkat 4, Blok A Menara Kinabalu itu akan berfungsi sebagai platform bersepadu bagi menyelaras tindakan agensi keselamatan dan penyelamat, NGO serta badan penyelidikan semasa berlakunya bencana.
SDCC dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi terkini termasuk sistem persidangan video dan pangkalan data komprehensif untuk pengumpulan dan penganalisisan maklumat berkaitan bencana.

Pusat bernilai RM750,000 itu mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif; Timbalan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.
Turut hadir pada majlis itu Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Datuk Ag Shahminan Ag Sahari selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Mohd Yusoff Samad.