KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes sivil berprofil tinggi membabitkan Sabah Development Bank Berhad (SDB) dan firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY) hari ini berlangsung secara tertutup.
Usaha Sabah Media, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perjalanan kes tidak berhasil apabila peguam kedua-dua pihak enggan mengulas atau memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini kes ini.
Pada sesi sebelum ini yang diadakan pada Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Ros Mawar Rozain, memaklumkan bahawa perbicaraan penuh akan diteruskan sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam perbincangan yang dijadualkan hari ini.
Kes ini berkisar kepada dakwaan kecuaian audit yang dikatakan telah menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada SDB. Dalam tuntutannya, SDB mendakwa bahawa Ernst & Young telah gagal menjalankan audit tahunan secara profesional bagi tahun kewangan 2017 hingga 2022.
Antara kegagalan yang dinyatakan termasuk ketidakupayaan mengenal pasti kelemahan kritikal dalam kawalan dalaman serta sistem penilaian risiko kredit bank, yang didakwa telah membawa kepada laporan kewangan yang tidak tepat dan peningkatan pendedahan kepada risiko kewangan.
SDB, yang merupakan institusi kewangan milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, menegaskan bahawa kes ini melibatkan kepentingan awam serta dana negeri. Atas sebab itu, SDB menolak cadangan penyelesaian melalui timbang tara dan memilih agar perkara ini dibicarakan secara terbuka di Mahkamah Tinggi.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 2 Julai 2025 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.