HomeUtamaMereka berniaga bukan untuk kaya, tapi untuk hidup: Bantuan one-off RM5,000 legakan...

Mereka berniaga bukan untuk kaya, tapi untuk hidup: Bantuan one-off RM5,000 legakan beban penjaja kecil tepi jalan

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Mereka tidak berniaga untuk menjadi kaya. Cukuplah sekadar keluar dari kepompong kemiskinan. Itulah realiti hidup ratusan penjaja kecil di tepi jalan di Sabah berjuang saban hari dengan sumber yang serba terbatas.

Dalam Belanjawan Sabah 2025, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bantuan one-off sebanyak RM5,000 khas untuk penjaja tepi jalan yang berlesen sah. Ia satu langkah signifikan yang menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan mikro yang sering dipinggirkan.

Seramai 643 peniaga kecil dikenal pasti layak menerima bantuan tersebut. Golongan ini disifatkan sebagai tulang belakang kepada ekonomi mikro dan memainkan peranan penting dalam menjana kehidupan komuniti setempat.

Kos operasi yang terus meningkat, modal yang sempit dan lokasi niaga yang tidak menentu menjadi antara cabaran harian penjaja tepi jalan. Namun mereka tetap bertahan, demi sesuap nasi dan masa depan anak-anak.

Suryanti

Bagi Suryanti Mursalim, 36, yang telah menjual burger lebih sedekad di tepi jalan di Putatan, bantuan ini tiba tepat pada masanya. Berbekalkan wang simpanan selepas meninggalkan pekerjaan tetap, beliau memulakan perniagaan kecilnya bersama suami.

Tahun lalu, beliau berhasrat membuka gerai kedua namun kekangan modal membuatkan gerai itu bermula dalam serba kekurangan.

“Saya pernah dengar pasal bantuan ni masa pembentangan Belanjawan, tapi tidak tahu macam mana mau mohon. Lepas tu, awal bulan Jun, pihak Majlis Daerah Putatan hubungi saya dan maklumkan saya terpilih. Saya rasa sangat bersyukur… tapi memang tidak percaya pada mulanya,” katanya ketika ditemui Sabah Media baru-baru ini.

Suriyanti menyediakan burger untuk pelanggan sambil dibantu oleh pembantunya.

Dengan dana bantuan tersebut, Suryanti membeli peralatan memasak tambahan, lampu, dan menempah banner baharu untuk menarik pelanggan pada waktu malam. Malah, gerai pertamanya juga diberi nafas baharu dengan kelengkapan yang selama ini perlu diganti.

“Bagi orang lain, mungkin RM5,000 kecil. Tapi untuk kami yang berniaga di tepi jalan, ini adalah nafas baru. Ia bukan untuk kaya, tapi cukup untuk keluar dari kemiskinan, untuk terus hidup dan beri yang terbaik kepada keluarga,” katanya yang mempunyai dua anak berusia empat dan enam tahun.

Gerainya yang beroperasi dari 6 petang hingga 1 pagi berdepan cabaran pendapatan tidak menentu, terutama apabila hujan turun dan pelanggan tidak keluar rumah. Namun dia tetap tabah.

Bagi Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS), bantuan ini dianggap satu pengiktirafan terhadap penjaja tepi jalan.

Achmad

Menurut Naib Presiden G3PNS, Biro Belia Niaga, Media dan Digital, Achmad Noorasyrul Noortaip, inisiatif kerajaan negeri ini sangat membantu dan wajar diteruskan serta diperluas.

“Selama ini golongan ini kurang diberi perhatian. Kami harap bajet ini akan dikembangkan, bukan hanya kepada penjaja tepi jalan, tetapi juga yang berniaga di tamu dan pasar daerah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar sekiranya bajet terhad, nilai bantuan boleh disesuaikan kepada RM1,000 agar lebih ramai penjaja dapat merasai manfaat.

“Walaupun nilai tersebut kecil, ia tetap besar maknanya bagi penjaja kecil. Kami juga sedia bekerjasama dengan kerajaan melalui Program Pendataan dan Pendidikan Keusahawanan,” tambahnya.

Beliau menyeru agar para penerima menggunakan bantuan dengan bijak termasuk pelaburan ke dalam latihan keusahawanan, membuka akaun semasa, dan mempelajari pengurusan kewangan asas.

“Peniaga juga harus jaga imej. Kebersihan dan kekemasan gerai walaupun di tepi jalan, mampu tarik pelanggan dan beri nilai tambah kepada perniagaan mereka,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular