Oleh Normimie Diun
PAPAR: “Bukan mimpi lagi… sekarang ini memang rumah kami sendiri.” Itulah luahan penuh syukur dua keluarga dari Kampung Kelanahan Rimba, di sini, apabila impian mereka untuk memiliki rumah akhirnya menjadi kenyataan menerusi inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Rosmih @ Intan Awang, 53, seorang ibu tunggal yang menyara enam anak, tiga anak kandung dan tiga anak adiknya berkata rumah baharu yang diterimanya tahun lalu telah menggantikan kediaman usang yang didiami lebih dua dekad sejak zaman perkahwinannya.
“Suami saya meninggal dunia lebih tiga tahun lalu. Lepas itu barulah saya beranikan diri mohon bantuan termasuk rumah SMJ. Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) datang tengok rumah, tidak lama kemudian permohonan saya diluluskan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa..
Rosmih yang bekerja di kantin sekolah dengan pendapatan sekitar RM65 sehari berkata, bantuan rumah itu sangat meringankan beban hidupnya sebagai ibu tunggal yang menyara anak-anak berusia antara lapan hingga 19 tahun.
“Selain rumah, saya juga terima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan biasiswa kerajaan negeri untuk anak-anak. Sangat besar bantuan ini bagi saya… memang sangat membantu, terutama bab belanja dapur,” katanya lagi dengan nada terharu.


Seorang lagi penerima, Zuraidin Haiz, 42, turut menzahirkan rasa gembira kerana rumah SMJ yang diterima dua minggu lalu mengakhiri bertahun-tahun hidup menumpang bersama ibu bapanya.

“Rumah ini tiga bilik. Walaupun tidak besar, cukup selesa untuk kami berenam. Sebelum ini, anak-anak saya kadang-kadang tidur di luar ruang tamu. Sekarang masing-masing ada ruang sendiri,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Menurut Zuraidin, beliau memohon rumah SMJ melalui sistem e-Kasih kira-kira lima bulan lalu selepas beberapa kali gagal mendapat rumah dalam skim-skim terdahulu.
“Syukur… selain rumah, saya juga terima STR, SARA, bantuan SYUKUR daripada Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM300 sebulan, serta bantuan daripada Zakat Sabah. Semua ini amat meringankan beban kami, apalagi dengan kos sara hidup yang makin meningkat,” katanya.
Kedua-dua penerima turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas pelaksanaan Rumah Mesra SMJ yang disifatkan sebagai penyelamat kehidupan dan masa depan anak-anak mereka.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang menziarahi kedua-dua keluarga itu pada Selasa berkata, kisah mereka adalah bukti nyata bahawa dasar dan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan tidak sekadar atas kertas, tetapi benar-benar sampai kepada rakyat.
“Saya semak sendiri, Zuraidin terima STR RM2,000 setahun, SARA RM200 sebulan melalui MyKad, bantuan SYUKUR sebanyak RM300 sebulan dan telah menerima dua fasa pembayaran sebanyak RM900 bagi setiap fasa. Beliau juga menerima bantuan daripada Zakat Sabah dan kini telah menetap di Rumah Mesra SMJ yang disiapkan Kerajaan Negeri.
“Inilah bukti bahawa inisiatif kerajaan negeri dan persekutuan bukan hanya mampu didengar, tetapi dapat dilihat dan dirasai sendiri oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu pada hari sama, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengadakan program beramah mesra bersama peniaga di Pasar Awam Papar seterusnya merasmikan Majlis Flag Off Program Kembara ReDI Peringkat Zon Sabah dan Pelancaran Mural ReDI Pertama di Borneo di Pekan Papar.