Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kawasan tanah lembap di Semenanjung Klias dan Lahad Datu kini menunggu kelulusan untuk diiktiraf sebagai Tapak Ramsar, dengan keputusan akhir dijangka dibuat pada Oktober ini.
Presiden Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS), Datuk Zainie Abdul Aucasa, berkata Semenanjung Klias telah melalui proses dokumentasi, kajian dan lawatan tapak selama dua tahun. Tapak tersebut meliputi keluasan kira-kira 1,000 ekar dan merangkumi enam buah kampung.
Sementara itu, cadangan pengiktirafan kawasan seluas kira-kira 200 ekar yang melibatkan dua atau tiga kampung di Lahad Datu telah dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Sumber Asli (NRO), dengan kerjasama POIC Lahad Datu dan sokongan penuh daripada Jabatan Perhutanan Sabah.
“Kertas cadangan telah diserahkan kepada Kabinet dan dijangka keputusan akan dibentangkan pada Oktober. Itu maklumat terkini yang saya terima,” kata Zainie selepas Pelancaran Program Pemuliharaan Nakau anjuran Hibiscus Petroleum di Tanah Lembap Ramsar di Likas, dekat sini, hari ini.
Tambahnya, sekiranya diluluskan, Sabah akan mempunyai empat Tapak Ramsar, termasuk dua yang sedia ada iaitu Tanah Lembap Kota Kinabalu dan di Sungai Kinabatangan.
“Tujuan utama apabila ia diiktiraf sebagai Tapak Ramsar ialah untuk mendapatkan perlindungan pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai peningkatan minat terhadap perdagangan kredit karbon berasaskan paya bakau, Zainie berkata, aktiviti perdagangan itu dikendalikan melalui Bursa Carbon Exchange (BCX), anak syarikat Bursa Malaysia Bhd.
Tambah Zainie, kerajaan negeri telah menerima beberapa cadangan berkaitan perdagangan karbon dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun status cadangan tersebut masih belum jelas.
“Apa pun, ini sesuatu yang sangat baik untuk alam sekitar dan pemuliharaan. Dengan ini, negara seperti kita boleh mengamalkan penggunaan bijak terhadap paya bakau.
“Ini bermakna kita boleh menerima dana daripada syarikat-syarikat luar negara untuk melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan di Tapak-Tapak Ramsar di kawasan kita,” katanya.
Turut hadir, Ketua Aset Operasi Sabah, Hibiscus Petroleum, Edmund Ang menyampaikan ucapan penghargaan kepada para pelajar yang terlibat dalam program tersebut.
Seramai 50 pelajar dari SM Tshung Tsin, SMK Likas, SM Lok Yuk, SMK Taman Tun Fuad dan SM Kian Kok, bersama guru pengiring masing-masing, telah menyertai program separuh hari yang bertemakan “Membentuk Pelindung Bakau Masa Hadapan Bermula Hari Ini”.