HomeUtamaWanita Gagasan Rakyat buat laporan polis terhadap kenyataan fitnah Albert Tei

Wanita Gagasan Rakyat buat laporan polis terhadap kenyataan fitnah Albert Tei

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan berunsur fitnah oleh seorang individu dikenali sebagai Albert Tei Jiann Cheing yang didakwa telah mencemarkan nama baik kepimpinan tertinggi negeri Sabah dan institusi perundangan negara.

Laporan tersebut dikemukakan oleh Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Senator Annabell Perian bersama Penolong Setiausaha, Fahzean Mohiddin serta dua Exco, Salmi Sarinoh dan Halijah Din di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Khamis (3 Julai).

Menurut Annabell, laporan itu merujuk kepada sidang media yang diadakan oleh Albert pada 30 Jun lalu di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, yang turut dimuat naik secara penuh ke laman Facebook.

“Dalam sidang media tersebut, Albert secara terbuka mendakwa beberapa pemimpin tertinggi negeri termasuk Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain terlibat dalam rasuah dan patut didakwa di mahkamah.

“Beliau juga mengaitkan kononnya pemimpin-pemimpin ini berkomplot untuk menghalang siasatan dan mendakwa mereka terlibat dalam rancangan mencederakan dirinya, termasuk kemungkinan diculik atau dibunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annabell menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat Albert adalah palsu, berniat jahat serta berunsur fitnah terhadap pemimpin negeri Sabah dan institusi penguatkuasaan undang-undang.

“Malah, kenyataan tersebut turut memberi gambaran seolah-olah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan serta pendakwaan secara selektif, yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dan integriti sistem perundangan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, kenyataan terbuka sebegini juga boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada mahkamah memandangkan kes yang melibatkan Albert dan dua ADUN lain kini sedang dalam proses perbicaraan, sekali gus mencetuskan percubaan ‘trial by media’.

Sehubungan itu, Wanita Gagasan Rakyat Sabah meminta agar pihak polis menyiasat Albert atas beberapa kesalahan iaitu Fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan; Hasutan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Penyalahgunaan sistem komunikasi mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; dan Penghinaan terhadap proses mahkamah yang sedang berlangsung.

“Laporan ini dibuat atas keprihatinan terhadap ketenteraman awam, maruah kepimpinan negeri serta demi menjaga keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara,” tegas Annabell lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular