HomeUtamaLebih 800 penjawat awam sertai seminar kukuh nilai integriti

Lebih 800 penjawat awam sertai seminar kukuh nilai integriti

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu : Lebih 800 penjawat awam menyertai Seminar Tata Kelola Berintegriti: Transformasi Perkhidmatan Awam  sebagai usaha memperkukuh nilai integriti.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa berkata seminar berkenaan merupakan platform penting dalam menyemai dan memperkukuh kefahaman berkaitan integriti serta tata kelola yang baik dalam kalangan penjawat awam negeri dan persekutuan.

“Sabah mempunyai kira-kira 126,000 penjawat awam Persekutuan dan 27,000 penjawat awam negeri.

“Justeru adalah penting untuk memastikan semua penjawat awam benar-benar memahami dan mengamalkan nilai integriti tinggi dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Seminar Tata Kelola Berintegriti: Transformasi Perkhidmatan Awam, di sini baru-baru ini.

Rosli berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran kerajaan dan perlu menjadi cerminan kepada rakyat menerusi sikap berakhlak, berkualiti, berintegriti dan manusiawi selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Menurutnya, usaha membentuk tata kelola berintegriti bukan sahaja penting untuk mencorakkan pentadbiran yang cekap dan bersih malah selari dengan visi negara ke arah Malaysia yang maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu kes-kes salah laku, disiplin dan rasuah dalam kalangan penjawat awam terus menurun. Nilai murni ini perlu disemai secara konsisten dan ketua jabatan perlu memastikan integriti menjadi asas dalam pentadbiran,” katanya.

 Tambah beliau, sebarang pelanggaran undang-undang atau tata kelola akan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rosli turut mengingatkan bahawa keutuhan nilai integriti harus lahir daripada hati yang bersih serta jiwa yang kukuh berpegang kepada agama dan iman.

“Kalau hati baik, akhlak kita juga baik. Kita perlu memperkukuh iman dan takwa supaya nilai peribadi bukan sahaja mencerminkan akhlak mulia malah akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua ketua jabatan agar terus memainkan peranan aktif memastikan perkhidmatan awam kekal bersih dan telus seiring dengan agenda transformasi Kerajaan Persekutuan dalam membina kerajaan berintegriti tinggi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Datuk Seri Hashim Paijan, berkata Sabah tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting membanteras rasuah.

“Bagi menarik keyakinan pelabur dan membina masa depan yang mampan, kita perlu mewujudkan sistem tadbir urus yang bebas daripada salah guna kuasa.

“Dalam dunia digital tanpa sempadan, cabaran terhadap integriti semakin kompleks dan tidak boleh ditangani melalui dasar semata-mata.

“Kita perlu membina kekuatan dalaman organisasi, nilai kendiri, budaya kerja dan kepimpinan melalui teladan. Program seperti ini bukan sahaja menyemai kesedaran, tetapi mencipta gelombang perubahan yang mengangkat maruah dan wibawa perkhidmatan awam di Sabah,” katanya.

Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan inisiatif seperti Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di beberapa jabatan dan agensi termasuk SEDIA sendiri sebagai bukti kesungguhan melaksanakan prinsip tadbir urus baik secara menyeluruh.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular