HomeUtamaPemandu dan penumpang bas diingatkan pakai tali pinggang keledar atau disaman RM300

Pemandu dan penumpang bas diingatkan pakai tali pinggang keledar atau disaman RM300

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar ke atas bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, semua pemandu dan penumpang diwajibkan memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak ke destinasi.

Pelaksanaan penguatkuasaan ini merupakan langkah penting ke arah memastikan kenderaan pengangkutan awam mematuhi ciri keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya melibatkan nyawa.

“Pengendali syarikat serta pemandu perlu memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada penumpang dan memastikan pemakaian tali pinggang keledar dipatuhi. Langkah ini penting untuk mengurangkan risiko kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan, selain mengelakkan penumpang tercampak akibat impak pelanggaran.

“Operasi penguatkuasaan kini giat dijalankan dengan pemeriksaan dilaksanakan di terminal bas, hentian rehat dan lebuh raya di seluruh negara termasuk penyamaran dalam bas. Penumpang juga boleh membuat aduan kepada pemandu sekiranya tali pinggang keledar didapati dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya dalam sidang media selepas melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar ke atas bas ekspres dan bas Persiaran Terminal Bas KK Sentral di sini pagi tadi (4 Julai).

Tambahnya lagi, kegagalan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pemandu, penumpang dan pengendali syarikat dikenakan notis saman berjumlah RM300 di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008).

“Walau bagaimanapun, JPJ akan terus melaksanakan advokasi secara berterusan bagi mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan tersebut,” katanya.

Mohd Harris juga menjelaskan, berdasarkan data, jumlah bas ekspres yang aktif beroperasi di Sabah ialah sebanyak 164 buah, manakala bas persiaran pula sebanyak 1,566 buah. Terdapat 40 syarikat pengendali bas ekspres yang aktif dan 1,118 syarikat pengendali pelancongan berdaftar di negeri ini. Bagi melancarkan penguatkuasaan ini, seramai 286 anggota JPJ telah digerakkan.

“Statistik kemalangan jalan raya di Sabah bagi tempoh 2020 hingga Mei 2025, sebanyak 1,315 kes kemalangan maut dan 93,189 kes keseluruhan telah direkodkan. Angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperketatkan pematuhan aspek keselamatan, termasuk penggunaan tali pinggang keledar oleh semua pemandu dan penumpang bas, khususnya dalam sektor pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut memberi saranan kepada orang ramai untuk menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama untuk membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas, selain melalui saluran SISPAA, [email protected] dan [email protected] bagi membantu JPJ mengambil tindakan segera terhadap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Beliau turut mengingatkan kepada penumpang kenderaan persendirian yang duduk di bahagian belakang agar memakai tali pinggang keledar.

Sekiranya didapati tidak berbuat demikian, mereka juga boleh dikenakan saman mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular