HomeIsu tempatanTanam pokok, tanam kesedaran: Misi hijau pelajar bermula

Tanam pokok, tanam kesedaran: Misi hijau pelajar bermula

Read Time:3 Minute, 19 Second

Oleh Florieta Diet

BUKAN sekadar menanam pokok, tetapi menanam kesedaran. Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar sekolah menengah apabila mereka melangkah ke dalam tanah lembap paya bakau di Kota Kinabalu. Tujuan mereka bukan untuk bermain, tetapi untuk belajar, menyelami alam, dan menyumbang kepada kelestariannya.

Edmund (duduk tiga dari kiri) merasmikan penanaman anak pokok bakau bersama pasukannya. – Foto Sabah Media/ Florieta Diet

Dengan berbekalkan semangat ingin tahu, seramai 50 pelajar dari lima buah sekolah sekitar ibu negeri menyertai Kempen Pemeliharaan Bakau 2025, sebuah inisiatif pendidikan alam sekitar anjuran Hibiscus Petroleum Sabah bersama Persatuan Pemeliharaan Tanah Lembap Paya Bakau Sabah.

Menyentuh Alam, Menyemai Ilmu

Program separuh hari yang berlangsung di Tapak Ramsar Tanah Lembap Paya Bakau Likas di Kota Kinabalu pada Khamis (3 Julai) itu menghimpunkan pelajar dari SM Tshung Tsin, SMK Likas, SM Lok Yuk, SMK Taman Tun Fuad, dan SM Kian Kok, bersama guru pengiring masing-masing.

Dengan tema “Membentuk Pelindung Bakau Masa Depan Hari Ini”, para peserta diberi peluang menyentuh sendiri tanah paya, melihat struktur akar pokok bakau secara dekat, dan menanam anak pokok sebagai simbol penyertaan mereka dalam usaha pemuliharaan alam.

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian sebelum peserta bergerak ke lokasi penanaman yang telah dikenal pasti di kawasan Ramsar. Selepas itu, mereka mengikuti sesi ceramah dan lawatan berpandu bersama pakar alam sekitar dari Persatuan Pemeliharaan Tanah Lembap Paya Bakau Sabah.

Sumbangan Awal yang Bermakna

Menurut Ketua Aset Operasi Hibiscus Petroleum Sabah, Edmund Ang, penglibatan pelajar sekolah merupakan pendekatan penting dalam mendidik masyarakat dari akar umbi.

“Daripada peranan penting hutan bakau dalam melindungi pantai dan menyokong biodiversiti, hinggalah sumbangannya dalam menangani perubahan iklim, hutan bakau adalah penjaga senyap alam semula jadi kita,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau menekankan bahawa aktiviti seperti menanam pokok bukan sekadar simbolik, sebaliknya memberi kesan jangka panjang dalam membentuk nilai pelajar.

Program ini merupakan yang pertama daripada tiga siri yang dirancang di Sabah. Dua lagi dijangka berlangsung di daerah luar Kota Kinabalu, melibatkan 15 buah sekolah dan penyertaan seramai 150 pelajar secara keseluruhan.

Daripada Teori ke Tindakan

Nurfaizah

Guru pengiring dari SMK Taman Tun Fuad, Cikgu Nurfaizah Mohd Yusoff, menyifatkan program ini sebagai satu bentuk pembelajaran di luar bilik darjah yang sangat berkesan.

“Di sekolah, mereka hanya belajar secara teori. Tapi di sini, mereka dapat lihat dan alami sendiri,” katanya.

Menurutnya, dalam mata pelajaran Geografi, struktur akar pokok bakau seperti akar jangkang diajar, tetapi ada di antara pelajar tidak pernah melihatnya secara langsung.

“Jadi hari ini mereka dapat tengok sendiri dan turut serta menanam. Ini kali pertama pelajar saya terlibat dari sesi penerangan hingga ke penanaman,” katanya.

Pelajar SMK Taman Tun Fuad, Nur Khumairah Reymi, 13, turut berkongsi keterujaannya.

Nur Khumairah

“Bagus juga. Mula-mula memang tidak tahu cara tanam pokok, tapi hari ini saya belajar. Sebelum ini saya tahu pokok bakau boleh menahan hakisan dan penting untuk alam, tapi hari ini saya lebih faham betapa pentingnya pokok bakau dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.”

Pendedahan Lebih Mendalam

Zainie

Presiden Persatuan Pemeliharaan Tanah Lembap Paya Bakau Sabah, Datuk Zainie Abdul Aucasa, berkata bahawa mendidik generasi muda tentang ekosistem bakau merupakan langkah penting dalam usaha jangka panjang pemuliharaan alam sekitar.

Menurut beliau, program pendidikan alam sekitar kini menjadi tumpuan utama persatuan, khususnya melibatkan generasi muda dari peringkat awal. Dalam beberapa bulan yang lalu, lebih 1,200 pelajar Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) atau prasekolah dari sekitar Kota Kinabalu telah mengunjungi Tanah Lembap Kota Kinabalu. Kehadiran mereka secara tidak langsung turut menarik perhatian guru dan ibu bapa, yang kebanyakannya baru pertama kali mengetahui tentang kewujudan kawasan tersebut.

Sudah tentu, tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan dan perlindungan paya bakau. Penglibatan murid-murid sekolah dari peringkat TASKA hingga sekolah menengah di tapak ini diharapkan dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi khazanah alam ini pada masa hadapan.

Melangkah ke Hadapan

Melalui kempen ini, Hibiscus Petroleum Sabah bukan sahaja memperkukuh komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi juga menyemai harapan baharu — bahawa generasi muda hari ini mampu menjadi pelindung alam sekitar pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

RIUMS tunjang budaya integriti, etika profesional di Universiti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular