Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak mewakili Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berjaya menewaskan pasukan Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) 5-3 pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas di sini baru-baru ini.
Perlawanan persahabatan itu adalah sebagai usaha bagi mengukuhkan silaturrahim dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.
Selain itu, perlawanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan mesra, malah sebagai platform membina hubungan yang lebih erat di antara warga kerja dua kementerian penting ini.
Jurucakap penganjur, Mohd Hafif Japlin berkata, objektif utama program tersebut adalah untuk mengukuhkan kerjasama antara penjawat awam melalui sukan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kementerian.
“Kalah atau menang tidak menjadi ukuran utama. Yang lebih penting ialah semangat kesukanan, semangat berpasukan dan rasa kekitaan yang terbina melalui program sebegini,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala, melibatkan lebih banyak agensi kerajaan demi membudayakan gaya hidup aktif dan memperkukuh hubungan antara jabatan serta kementerian di Sabah.
Acara berkenaan turut mendapat sambutan hangat, diserikan dengan kehadiran penyokong kedua-dua kementerian yang turut sama menyemarakkan suasana perlawanan.