HomeUtamaSabah Rancang Pembangunan Tenaga Mampan, Fokus 50% Sumber Boleh Diperbaharui Menjelang 2035

Sabah Rancang Pembangunan Tenaga Mampan, Fokus 50% Sumber Boleh Diperbaharui Menjelang 2035

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU,– Sabah bukan sahaja sedang merangka hala tuju peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, malah turut menggariskan matlamat pembangunan ekonomi negeri secara mampan.

Pengarah Perancangan Strategik Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Terence John Kouju, berkata sasaran utama adalah untuk menjana 50% tenaga elektrik Sabah daripada sumber boleh diperbaharui menjelang tahun 2035.

“Sasaran ini akan dicapai melalui pelaksanaan pelan komprehensif yang telah dirangka. Ia akan memperkukuh capaian tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) kepada bawah 100 minit menjelang 2030. Kita juga mensasarkan elektrifikasi penuh kawasan luar bandar dalam tempoh yang sama,” katanya ketika ditemui Sabah Media baru-baru ini.

Menurut beliau, permintaan puncak grid tenaga Sabah kini mencecah 1,166 MW, dan kapasiti penjanaan dijangka meningkat kepada 1,334 MW menjelang awal 2025. Daripada jumlah ini, 13% dijangka disumbangkan oleh tenaga solar, hidro dan biojisim.

Bagi menstabilkan bekalan, khususnya daripada sumber boleh diperbaharui yang tidak konsisten, Terence menekankan keperluan pelaksanaan teknologi seperti teknologi Battery Energy Storage Systems (BESS).

“Projek BESS berkapasiti 100 MW di Lahad Datu yang dijangka siap pada pertengahan 2025 bakal menjadi komponen penting dalam menguruskan turun naik penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Elektrifikasi Luar Bandar dan Akses Tenaga Bersih

Menyentuh soal elektrifikasi luar bandar, Terence berkata kawasan pedalaman kekal menjadi antara keutamaan kerajaan negeri.

“Kita sedar berkenaan isu elektrifikasi luar bandar ini. Justeru, dua jawatankuasa khas telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Hidro Sabah (JTPHS) bagi memastikan komuniti terpencil mendapat akses kepada tenaga yang bersih, selamat dan boleh dipercayai. Selain itu, ia juga bagi memastikan sumber hidro akan dibangunkan secara bertanggungjawab,” jelas beliau.

Di samping itu, sebagai sebahagian strategi jangka panjang bagi akses tenaga bersih, Sabah turut meneroka teknologi tenaga baharu termasuk Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) dan Small Modular Reactors (SMR).

“Dengan penggubalan Sabah OTEC Enactment 2024, kajian sedang dijalankan untuk menilai potensi tenaga OTEC di kawasan pesisir seperti Tawau. Kerjasama dengan

Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan SMR pula dilihat berpotensi besar untuk menjamin kelestarian tenaga Sabah,” tambah Terence.

Beliau optimis bahawa melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan, Sabah berupaya menjadi peneraju serantau dalam pembangunan tenaga bersih.

Peluang Baharu Pasca-Pandemik: Pandangan Pengerusi ECoS

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, menyifatkan era pasca pandemik sebagai masa yang sesuai untuk memperkukuh semula asas industri tenaga negeri.

“Kita perlu menggunakan peluang ini untuk memperkemas perancangan dan pelaksanaan projek-projek tenaga yang memberi impak langsung kepada rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada aspek kebolehpercayaan bekalan, kemampuan kos, serta akses tenaga yang adil dan saksama di seluruh negeri.

“Komitmen ECoS adalah memastikan segala usaha penambahbaikan dalam industri tenaga dapat dijayakan secara menyeluruh dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” jelasnya.

Pelaksanaan pelan dan dasar berkaitan, katanya, melibatkan kerjasama pelbagai agensi, kementerian, pemain industri dan masyarakat setempat.

“Saya menghargai sokongan semua pihak yang telah terlibat dalam merancang hala tuju tenaga Sabah,” tambah beliau

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular