KOTA KINABALU: Seorang pembantu kedai didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
Hakim Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu selepas Noraizan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah menetapkan denda RM500 atau 15 hari penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
Pertuduhan pertama, Noraizan telah menjual dua produk tidak berdaftar iaitu Maajun Bebeh dan Herba King Pil Jamu pada 27 September 2024 di sebuah premis di KK Taipan, Jalan Tuaran.
Bagi kesalahan itu, tertuduh telah melanggar Perenggan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan satu kesalahan di bawah Subperaturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menjual satu unit Birdnest Collagen Soap yang merupakan kosmetik tidak bernotifikasi pada masa dan tempat yang sama.
Tertuduh telah melanggar Perenggan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan satu kesalahan di bawah Subperaturan 18A(15) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Kedua-dua kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai empat orang anak untuk ditanggung. Beliau turut mendakwa tidak mengetahui perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan menyatakan majikannya tidak memaklumkan perkara itu kepadanya.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi Muhamed Aiman Russli mengendalikan pendakwaan.



