KUDAT: Seorang bekas guru besar yang digantung tugas susulan dakwaan mencabul rakan sekerja di sebuah sekolah di sini dua tahun lalu akhirnya bebas daripada pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai Majistret, Akhiruddin @ Boy Acho, melepaskan dan membebaskan Juari Amit, 51, hari ini ketika kes disebut untuk keputusan di Mahkamah Litar Kudat selepas perbicaraan penuh.
Mahkamah antara lain memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bahawa perbuatan tertuduh memenuhi elemen kekerasan jenayah dengan niat mencabul di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Juari didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 27 tahun ketika itu dengan niat untuk mencabul kehormatan di dalam pejabat Guru Besar sebuah sekolah di Kudat pada 12 Mac 2024 kira-kira jam 9 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil tujuh orang saksi, manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi semasa pembelaan.
Peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili tertuduh.



