HomeUtamaKurangkan kos makanan ternakan, kunci stabil harga ayam, telur di Sabah -...

Kurangkan kos makanan ternakan, kunci stabil harga ayam, telur di Sabah – Jamawi

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Usaha mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan dikenal pasti sebagai langkah utama dalam menangani isu harga telur dan ayam yang tinggi di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini negeri itu masih bergantung sehingga 98 peratus kepada import makanan haiwan, sekali gus menyebabkan kos pengeluaran meningkat apabila harga logistik dan pengangkutan naik.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan termasuk pembangunan ladang jagung berskala besar bagi menghasilkan makanan ternakan tempatan.

“Kita tidak boleh sekadar minta harga ayam atau telur diturunkan, tetapi pada masa sama kos makanan ternakan terus meningkat.

“Sebab itu tahun ini kita sasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung dengan peruntukan RM25 juta bagi mengurangkan kebergantungan import,” katanya dalam sidang media selepas program Santai Bersama Media di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan penggunaan alternatif makanan ternakan melalui program mentor-menti yang memanfaatkan sisa makanan dapur sebagai sumber protein bagi ayam.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos penternakan, malah berpotensi meningkatkan pengeluaran telur secara lebih mampan.

Dalam masa sama, Jamawi turut mencontohkan pelaksanaan penternakan kecil di peringkat isi rumah sebagai antara langkah meningkatkan keterjaminan makanan.

“Saya sendiri menternak ayam sebagai contoh kepada masyarakat bahawa inisiatif ini boleh dilaksanakan di peringkat rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pendekatan jangka panjang melalui pengeluaran makanan ternakan tempatan diyakini mampu menstabilkan harga ayam dan telur di Sabah secara berperingkat.

Jamawi semasa program Santai Bersama Media di sini, hari ini.

Sementara itu, sempena program Santai Bersama Media itu turut mempromosikan hasil pertanian tempatan termasuk durian premium dan avokado Sabah.

Program tersebut bukan sahaja menjadi platform interaksi, malah turut diserikan dengan hidangan buah-buahan premium seperti durian Musang King, IOI dan Black Thorn, selain memperkenalkan avokado tempatan varieti Q-AV1 atau Avocado Quoin Sabah yang semakin mendapat tempat di pasaran.

Dalam masa sama, sesi berkenaan dimanfaatkan untuk berkongsi perkembangan terkini sektor agromakanan negeri, termasuk inisiatif kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan petani tempatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup barang kawalan gagal, lelaki berusia 45 tahun ditahan di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular