HomeUtamaBekalan Beras Sabah Stabil, Dakwaan Sorok Stok Tidak Berasas

Bekalan Beras Sabah Stabil, Dakwaan Sorok Stok Tidak Berasas

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU, 18 April — Bekalan beras di Sabah disahkan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi, manakala dakwaan berhubung tindakan menyorok stok disifatkan sebagai tidak berasas.

Perkara itu ditegaskan  Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin susulan isu tular mengenai kekurangan bekalan beras di pasaran negeri ini sejak awal April, yang turut mencetuskan insiden pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Menurutnya , situasi semasa kini telah kembali pulih dengan rantaian pengedaran beras beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan, satu lawatan telah dilakukan ke syarikat pemborong beras Tan Kien Chong (S) Sdn. Bhd. (TKC) serta Pasaraya Bataras di Kolombong, di sini, bagi meninjau kedudukan stok di peringkat gudang dan premis runcit katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya melalui lawatan tersebut, pihak berkenaan berpeluang meneliti tahap bekalan semasa, memahami pengurusan rantaian bekalan serta memastikan keperluan pengguna terus dipenuhi.

Taklimat turut diberikan oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras Sabah berhubung situasi semasa, termasuk aspek pengurusan stok dan pengedaran.

Sehubungan itu, penghargaan dirakamkan kepada semua pihak termasuk pemain industri atas kerjasama berterusan dalam memastikan bekalan beras kekal terjamin.

Orang ramai juga diseru supaya tidak melakukan pembelian secara berlebihan dan kekal tenang, memandangkan dakwaan berhubung penyembunyian stok hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Chan yang juga Ahli PArlimen Kota Kinabalu berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus menyalurkan subsidi sebanyak RM350 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) ke Sabah.

Inisiatif tersebut memastikan harga runcit purata BPI tidak melebihi RM31 bagi setiap 10 kilogram, sekali gus menafikan dakwaan kenaikan harga di pasaran.

Bagi memastikan kestabilan berterusan, beberapa langkah intervensi turut dilaksanakan termasuk pemantauan rapi rantaian pengedaran, penyaluran subsidi secara konsisten serta arahan kepada pemborong untuk mempercepatkan pengeluaran stok dari stor Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke pasaran.

Perkembangan semasa akan terus dipantau bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan.

Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi kerajaan serta mengamalkan pembelian secara berhemah demi memastikan kestabilan bekalan beras.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Sabah, Rosman Shamsul, serta Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Sabah, Abd Alim Multazam.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

Sheraton, Le Méridien Kota Kinabalu Mark International Women’s Day With Joint...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular