HomeUtamaLebih 30 peratus koperasi tidak aktif, sektor peruncitan antara terjejas

Lebih 30 peratus koperasi tidak aktif, sektor peruncitan antara terjejas

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Lebih 30 peratus koperasi di seluruh negara dikenal pasti tidak aktif, dengan sektor peruncitan antara yang paling terjejas akibat kelemahan pengurusan dan daya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, secara keseluruhan lebih 60 peratus koperasi masih aktif, namun kerajaan terus memberi tumpuan bagi memulihkan koperasi yang dikenal pasti berdepan masalah.

Menurutnya, antara faktor utama koperasi menjadi tidak aktif adalah kelemahan pentadbiran, kebergantungan kepada bantuan kerajaan serta ketiadaan keperluan bersama dalam kalangan anggota.

“Banyak koperasi kecil dalam sektor peruncitan tidak mampu bertahan kerana kurang daya saing dan pengurusan yang tidak cekap.

“Selain itu, ada juga koperasi yang hanya bergantung kepada bantuan tanpa merancang perniagaan secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Bicara Koperasi & Jom@Coop IKMa Bersama Agensi KUSKOP dan Media anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata SKM telah diarahkan supaya mempergiat usaha intervensi dengan turun padang bagi membantu koperasi bermasalah sebelum terpaksa ditutup.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan pendekatan konsolidasi atau penggabungan koperasi sebagai langkah memperkukuh operasi.

“Jika sesebuah koperasi tidak mampu berdiri sendiri, kita boleh gabungkan dua atau tiga koperasi supaya lebih kukuh dari segi modal, produk dan keupayaan menjana pendapatan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk dana serta geran permulaan sehingga RM20,000 bagi membantu penubuhan koperasi baharu.

Beliau turut menegaskan koperasi perlu diurus sebagai entiti perniagaan dan bukan sekadar organisasi kebajikan, selain memerlukan kepimpinan profesional dalam kalangan Ahli Lembaga Koperasi (ALK).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan pengusaha tempatan, khususnya di Sabah, supaya tidak melepaskan kawalan perniagaan kepada pihak luar, terutama dalam sektor pelancongan yang mempunyai potensi besar.

Katanya, pengusaha tempatan perlu memaksimumkan keuntungan dengan mengurus sendiri operasi perniagaan, berbanding hanya menerima pulangan kecil melalui perkongsian yang tidak menguntungkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Selat Hormuz Dibuka Semula, Iran Benarkan Laluan Kapal Komersial

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular