KOTA KINABALU: Seorang lelaki dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 368.3 gram ganja.
Hakim Saiful Azian Mokhtar melepas dan membebaskan tertuduh, Calvin Mah Meng Jie, 25, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, pada Jumaat.
Jurujual itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 1.15 pagi, 10 April 2023 di ruang tamu tingkat atas sebuah rumah di Taman Luyang Perdana, Luyang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, bagi pertuduhan pertama membabitkan pemilikan 27.48 gram ganja, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie lalu memerintahkan tertuduh membela diri.
Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dilakukan pada jam 12.35 tengah malam hari sama di kawasan parkir Taman Kendara 2, Jalan Kepayan.
Kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 39A(1) akta sama itu membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan serta tiga sebatan.
Perbicaraan kes bermula pada 3 Disember 2025 dan pihak pendakwaan telah memanggil empat saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah dan Nurul Shafeerah Mad Iskim.
Tertuduh diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang.



