KOTA BELUD: Seorang mangsa lelaki masih hilang selepas bot dinaiki lapan individu semasa menjalankan aktiviti memancing karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu dipercayai berlaku apabila bot berkenaan dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung terbabit.
Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Katanya, pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menyusuri tebing sungai di sekitar lokasi bot karam.
“Pada jam 9.50 malam, seorang mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
“Manakala seorang lagi mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, masih belum ditemui setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR diteruskan hari ini dengan pasukan bomba tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 8.05 pagi untuk menyambung pencarian, dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam.
Bagaimanapun, operasi berdepan kekangan berikutan tiada liputan sistem komunikasi GIRN selain liputan talian telefon yang terhad di lokasi kejadian.
Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.



