TUARAN : Sabah komited untuk memastikan semua kemudahan dan fasiliti sukan terutama di kompleks sukan di negeri ini berada dalam keadaan baik serta selesa bagi memenuhi keperluan pengguna.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kemudahan dan fasiliti sukan bukan sahaja berperanan sebagai tempat riadah dan latihan atlet, malah menjadi cerminan imej negeri serta daya tarikan kepada pelancong luar.
Beliau berkata, pendekatan turun padang ke setiap fasiliti sukan membolehkannya mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kemudahan, selain mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan kemudahan sukan ini berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja digunakan oleh rakyat Sabah dan atlet, tetapi juga oleh pengunjung luar termasuk pelancong.

“Apa yang ada di kompleks sukan ini sebenarnya mencerminkan imej kementerian dan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa kompleks sukan di Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran sebagai sebahagian daripada jelajah meninjau 17 fasiliti sukan di seluruh Sabah.
Mengulas lanjut, Nizam berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri bagi tujuan menaik taraf kemudahan yang dikenal pasti memerlukan perhatian segera.
Katanya, sebarang keperluan akan dinilai secara terperinci sebelum dikemukakan kepada Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan lanjut.
“Sekiranya terdapat perkara yang memerlukan peruntukan tambahan, kita akan membuat kajian sebaik mungkin supaya kemudahan sukan yang disediakan berada pada tahap terbaik demi keselesaan semua pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara kementerian dan pemimpin tempatan bagi memastikan setiap projek pembangunan serta penyelenggaraan fasiliti sukan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.



