KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi suspek kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM500,000.
Menurut Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penjawat awam dan juga pengarah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang lagi suspek lelaki, iaitu pengarah syarikat pembinaan yang telah ditahan sebelum ini.
“Suspek ditahan berkaitan kes sama iaitu mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini berjumlah kira-kira RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.



