KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar lebih 69 kilogram syabu.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Kahar Amir pada Khamis.
Warga Indonesia itu didapati bersalah mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 69,136.2 gram pada 21 Februari 2019, lebih kurang jam 2.15 petang bertempat di kaki lima hadapan Amber Freight Agencies (KK) Sdn. Bhd., Penampang.
Tertuduh disabit kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Kahar menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 21 Februari 2019, dan selepas menjalani hukuman, tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.



