Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menyeru rakyat negeri ini agar kekal tenang serta mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata, konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran dijangka memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk Malaysia, khususnya melalui peningkatan kos minyak dan logistik antarabangsa.
“Keadaan ini berpotensi memberi tekanan inflasi terhadap harga barangan keperluan dan bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, Tun Musa menegaskan kepentingan rakyat mengurus kewangan secara bijak bagi menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Menurutnya, usaha tersebut penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri serta memastikan kestabilan berterusan.
“Segala perancangan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. Sudah tiba masanya kita bersatu hati tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik demi membangunkan negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam, pasukan keselamatan dan semua pihak yang terus komited dalam memastikan keselamatan, keamanan serta kestabilan Sabah terpelihara.
Katanya, dedikasi berterusan itu menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri. – SABAH MEDIA



