PAPAR: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 35, Jalan Kimanis–Keningau, di sini, pagi Khamis (23 April).
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Saga dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara hadapan dengan sebuah Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Axia berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu Proton Saga berusia 34 tahun turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang wanita berusia 52 tahun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Papar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan awal turut mendapati terdapat elemen ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya, termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah serta penggunaan kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh.
“Mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Beliau berkata, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab ketika memandu antara faktor utama kemalangan maut, terutama di laluan mencabar seperti Jalan Kimanis–Keningau yang memerlukan kemahiran serta disiplin tinggi.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya mematuhi had laju, berwaspada di laluan berisiko seperti selekoh tajam dan kawasan berbukit serta memastikan memiliki lesen memandu sah selain cukai jalan dan insurans kenderaan masih berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Polis Daerah Papar atau pegawai penyiasat trafik bagi membantu siasatan.



