KOTA KINABALU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merompak seorang buruh serta menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, dua tahun lalu.
Tertuduh, Jul Ahmad, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi rakan sejenayah yang telah dijatuhi hukuman sebelum ini didakwa melakukan rompakan dan mencederakan lelaki berusia 36 tahun di sebuah kawasan parkir di Papar pada 11 Disember 2024, antara jam 1 pagi hingga 2.30 pagi.
Dalam kejadian itu, kumpulan berkenaan turut melarikan sebuah kereta serta telefon bimbit milik mangsa.
Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Jun untuk perbicaraan kes tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin tempatan, serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Mahkamah turut mengingatkan tertuduh agar tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis.



