HomeUtamaTidak letak tanda harga, dua peniaga runcit dikompaun

Tidak letak tanda harga, dua peniaga runcit dikompaun

Read Time:1 Minute, 0 Second

LABUAN: Dua peniaga runcit dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan itu dikenakan susulan pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Labuan.

“Pemeriksaan dilaksanakan di kawasan luar bandar sekitar Labuan bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap perundangan yang dikuatkuasakan.

“Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 50 premis perniagaan diperiksa, melibatkan pelbagai kategori termasuk kedai runcit dan premis peruncitan lain.

“Hasil pemeriksaan, dua peniaga runcit dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya.

Menurutnya, kesalahan tersebut adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dikompaun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

“Secara keseluruhannya, majoriti peniaga didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Junaidah berkata KPDN Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dari semasa ke semasa, termasuk di kawasan luar bandar, bagi memastikan pengguna dilindungi serta amalan perdagangan yang adil dipatuhi.

“Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Demi anak autisme, bapa cetus larian inklusif di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular