RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Timbua sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk terlibat.

Kejadian kebakaran itu memusnahkan beberapa kediaman dan menjejaskan seramai 54 mangsa daripada 11 keluarga. Daripada jumlah itu, 37 adalah orang dewasa manakala 17 lagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
Sejurus insiden berlaku, satu inisiatif kutipan sumbangan digerakkan oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Ranau yang berjaya mengumpul pelbagai barangan keperluan dalam tempoh singkat.
Antara bantuan disampaikan termasuk pakaian, perabot asas serta bekalan makanan dan minuman bagi meringankan beban mangsa.
Selain itu, masyarakat setempat turut tampil menyalurkan bantuan termasuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Penyampaian bantuan diwakili Pegawai Khas, Shahrin Mujin bersama Pegawai Khas Kebajikan ADUN N.37 Karanaan, Sujani Gipul, bagi pihak Masidi. Turut terlibat ialah Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat.
Masidi yang juga ADUN Karanaan menzahirkan simpati kepada mangsa dan berharap bantuan disalurkan dapat membantu mereka bangkit semula selepas ditimpa musibah.
Beliau turut memaklumkan bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut menghulurkan bantuan, mencerminkan semangat solidariti tinggi dalam kalangan masyarakat Ranau.
Masidi turut menghargai usaha proaktif Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Ranau serta masyarakat setempat yang pantas menggerakkan bantuan kepada mangsa, sekali gus memperkukuh amalan gotong-royong.



