KUALA PENYU : Penubuhan persatuan etnik di Sabah disifatkan sebagai agenda penting dalam memperkukuhkan perpaduan serta memelihara identiti masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, persatuan etnik berupaya menjadi platform membimbing generasi muda agar lebih berkebolehan, berketrampilan dan berdaya saing seiring dengan masyarakat lain.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 180 persatuan etnik dan kebudayaan yang berdaftar dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah di negeri ini selain terlibat dalam pelbagai program anjuran kerajaan.

Antara program yang sering disertai termasuk sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah, majlis perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina serta Pesta Kaamatan yang menjadi simbol perpaduan masyarakat di negeri ini.
“Selain itu, kewujudan Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) yang menghimpunkan 36 persatuan etnik turut memainkan peranan penting sebagai wadah penyatuan pelbagai kaum tanpa mengira fahaman politik dan kepercayaan.
“Melalui platform ini, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan antara etnik serta memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung DwiTahunan Persatuan Kadayan Sabah Tahun 2026 di sini pada Sabtu.
Hadir sama Presiden Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) Datuk Dr Yusof Yacob.
Ruslan yang juga Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) berkata, usaha memartabatkan persatuan etnik bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan komitmen berterusan daripada pemimpin serta sokongan kewangan yang kukuh.
Katanya, kebanyakan persatuan etnik merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bergantung kepada sumbangan dan pengorbanan pemimpin serta ahli bagi menjayakan pelbagai program.
Sehubungan itu katanya, dedikasi pemimpin persatuan dalam menggerakkan organisasi masing-masing amat dihargai dalam memastikan kelangsungan peranan persatuan sebagai pemangkin perpaduan rakyat Sabah.
Terdahulu, pada majlis itu, PAADIAN dan PBBS menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama strategik antara dua persatuan itu.
Berucap pada majlis itu, Dr Yusof menyifatkan MoU itu menjadi landasan penting kepada kerjasama rapat antara PAADIAN dan PBBS.
“Ini khususnya program-program berkaitan kebudayaan, keusahawanan dan aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua persatuan ,” katanya.



