Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Bakal jemaah haji diingatkan supaya sentiasa mematuhi nasihat dan arahan pihak berkuasa khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia adalah bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi haji berjalan lancar.

“Saya nasihatkan kepada semua bakal-bakal jemaah haji supaya dapat mendengar nasihat terutama daripada TH dan arahan dari masa ke semasa daripada Kementerian Luar Negeri kita supaya mereka akan terjaga jika ada masalah.
“Mohon hubungi segera TH supaya kita boleh dapat selesaikan masalah-masalah yang berlaku semasa di Tanah Suci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji dari Parlimen Sepanggar di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Tabung Haji Sabah, Yusdi Nasip.
Seramai 55 bakal jemaah haji dari kawasan itu dijadual akan berlepas ke Tanah Suci bermula 11 Mei ini.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia berikutan konflik Timur Tengah yang berlaku pada ketika ini.
Menurutnya, TH bersama pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai persiapan rapi, termasuk usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi.
“Menteri Agama juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah jemaah haji kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak gusar kerana langkah-langkah keselamatan telah diambil bagi melindungi kebajikan semua jemaah.
“Alhamdulillah, insya-Allah kita telah bersedia dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjamin keselamatan mereka,” tambahnya. – SABAH MEDIA



