TONGOD: Rakyat Sabah diingatkan kembali kepada tujuan asal sambutan Pesta Kaamatan sebagai usaha menggalakkan penanaman padi, susulan amaran global kemungkinan bekalan beras import sukar diperoleh menjelang penghujung tahun ini.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah, berkata negara berdepan risiko krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya rakyat tidak berusaha menghasilkan padi sendiri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Tongod di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, semalam.
Menurutnya, negara pengeksport beras ke Malaysia berkemungkinan menghentikan bekalan sekiranya konflik di Asia Barat terus berlanjutan.
Katanya, konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berisiko menjejaskan rantaian bekalan makanan global.
Beliau turut merujuk peringatan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia bahawa stok fizikal beras negara hanya mampu menampung keperluan sehingga enam bulan menjelang akhir tahun ini.
“Pesta Kaamatan wajar menjadi titik tolak untuk rakyat kembali ke akar umbi dengan menanam dan menghasilkan padi sendiri seperti diamalkan nenek moyang, bagi memastikan bekalan makanan keluarga tidak terjejas.
“Negara seperti India, Myanmar dan Vietnam telah mengehadkan bekalan beras ke Malaysia sejak 2025, selain menaikkan cukai eksport sehingga 40 peratus, sekali gus menyebabkan harga beras import meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah tidak boleh terus bergantung kepada bekalan import terutama dari Thailand, Vietnam dan Kemboja yang turut terjejas akibat fenomena El Nino sehingga menurunkan pengeluaran padi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut itu berkata rakyat perlu merebut peluang disediakan kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif dan bantuan untuk mengusahakan tanaman padi di tanah sendiri.
Katanya, Jabatan Pertanian Malaysia, Pertubuhan Peladang Kawasan dan Lembaga Padi dan Beras Sabah menyediakan pelbagai subsidi bagi tanaman padi sawah dan padi bukit sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada import.
Sabah ketika ini mengimport kira-kira 400,000 tan metrik beras setahun, berbanding pengeluaran tempatan sekitar 120,000 tan metrik setahun.



